seindah broga, seribu ibrah

Perjalanan kami terhenti. 

“Yang depan stop dulu, ada akhawat penat”, jerit yang di belakang. 

Saya pantas menoleh ke belakang. Rupanya, Kak Najwa sudah tercungap keletihan. Dari jauh saya lihat Kak Najwa sedang dikipas , ada yang menawarkan makanan dan minyak angin. Bimbang juga, kerana kami bertolak dari Shah Alam jam 4 pagi, agak tersasar waktu perjalanannya dari perancangan asal. Takut-takut perut kak Najwa sudah masuk angin dek tak sempat menjamah sarapan.

“Takpa, takpa. Akak okey”, akhirnya Kak Najwa bersuara, pekat dengan loghat kedahnya. Kami meneruskan perjalanan. Suku perjalanan itu, Kak Najwa berhenti lagi. Sudah berpeluh pucat wajahnya.

“Jauh lagi kaa?”

“Tak jauh dah akak, sikit lagi. Akak boleh, akak kuat, go go!”

Masing-masing memberikan kata semangat biarpun sebenarnya perjalanan kami masih jauh. Nasib baik kak A selaku mas’ulah ‘Ekspedisi Akhawat ke Broga’ setia menemani perjalanan kak Najwa yang agak jauh ketinggalan di belakang.

Alhamdulillah, pukul 7 lebih kami tiba di puncak pertama. Subhanallah, indahnya pemandangan di puncak Broga. Kabus pagi masih setia mendampingi gunung, dan lalang berbunga kuning menghiasi puncak bukit melambai-lambai seolah menjemput kedatangan kami. Udara di sini juga segar dan sejuk sekali. Padanlah semua orang punyai hasrat untuk melihat matahari terbit dan terbenam dari puncak bukit di Semenyih ini. 

*subhanallah*


Jelas terpancar keriangan muka akhawat yang rata-ratanya baru pertama kali mendaki ke sini. Seorang demi seorang akhawat tiba di puncak, namun Kak Najwa tidak kelihatan. Kata Kak A, Kak Najwa sudah agak keletihan dan mahu ditinggalkan keseorangan di bawah memandangkan jalan yang semakin licin dan curam sebelum tiba di puncak.

Sedih. Sayu pula membayangkan kak Najwa adalah orang yang begitu bersemangat untuk ke broga kali ini! Kami kemudiannya menjamah sarapan yang dibawa sebelum dipanggil kak A untuk sesi halaqah.

“Alhamdulillah tsummal Alhamdulillah, Allah mengizinkan kita tiba di puncak setelah pendakian hampir satu jam setengah. Dalam muwasafat tarbiyah ada ‘qawiyyul jism’, dan sebagai seorang dai’e kita perlu cergas dan tidak lemau untuk menyampaikan dakwah. Kalau kita lihat, sangat banyak ibrah yang dapat dikutip untuk kita renung dan muhasabah semasa pendakian ni, dan kaitkan dengan dee dan tee. Siapa yang mahu mulakan? P.s: semua orang kena bercakap tau”, Kak A sempat berseloroh.

“Perasaan rasanya seperti semua orang jugak. Dan ibrahnya, pasal kejadian subuh tadi. Saya solat di hujung saff, tiba-tiba terdengar salakan anjing macam nak terkam mangsa. Saya tak tahu dari arah mana, sebab gelap kan. Allahu. Tak tahu nak describe perasaan saya time tu. Tapi, saya nekad, pergantungan saya hanya pada Allah. Kalau ditakdirkan anjing tu menerkam saya, saya redha, namun saya takkan berganjak dari solat ni…” lembut sekali tutur kata Wani, akhawat bercermin mata ini.

Saya juga terdengar bunyi anjing di kaki bukit, tempat kami bersolat subuh berjemaah pagi itu dengan bertemankan cahaya lampu suluh. Tetapi dalam hati tetap berdoa supaya anjing tidak mendekati saff solat kami.

Akhawat yang lain menyambung bicara.

“Banyak yang kita boleh dapat kalau cara pandang kita terhadap sesuatu adalah dari ‘kaca mata’ tarbiyyah. Mula-mula tadi kan kita tersalah jalan, terpaksa patah balik dan cari trek yang orang lain pernah lalu jugak, dan Alhamdulillah kita selamat sampai di puncak. Sama jugak dalam perjalanan kita dalam nak menegakkan agama Allah ni. Kita tahu, ini adalah jalan yang Rasulullah dan para sahabat lalui dan inshaAllah bila kita ikut jalan yang sama, Islam pasti akan menemui kemenangan satu hari nanti. Jangan ragu lagi.”

“Jalan ini sukar, penuh dengan cabaran dan perlu berhati-hati. Dan kemanisan bila berada di puncak ni adalah gambaran bila Islam dah menang nanti Allahuakbar!”

“Bila kita di atas, kita dapat lihat keciknya bangunan, kereta, jalan raya. maknanya kita ni tak ada apa-apa untuk dibanggakan. Hanya insan kerdil dan faqir di hadapan Allah swt.”

“Bila datang dengan akhawat, terasa lainnya pendakian kali ni. Rasa perjalanan tu lebih diberkati dan bukan hanya untuk seronok, naik kat puncak, bergambar, upload kat facebook. Ok dah. Bukan macam tu sebab kita nak raih redha Allah dalam apa jua pun yang kita lakukan”

Seorang demi seorang menceritakan pengalaman dan ibrah masing-masing. Tiba-tiba ada susuk tubuh yang baru tiba di puncak.

“Kak Najwa!” serentak akhawat berpaling. 

Jelas terpancar keletihan di riak wajah kak Najwa, tetapi masih mampu tersenyum. Perlahan kak Najwa mendekati bulatan bujur kami. 

“Akak membayangkan bila akak seorang di bawah sana, akak dah futur atas jalan ni. Orang lain dah sampai ke destinasi tapi akak terkontang kanting masih lagi berehat di bawah sana. Akak tak nak macam tu. Akak tahu, sekalipun akak berhenti, gerabak ni takkan pernah terhenti. Diteruskan saja perjalanan. Semuanya atas pilihan akak, sama ada akak nak lompat naik atau terus tertinggal di belakang. Akak tak nak futur dari jalan dakwah dan tarbiyyah ni. Akak kuatkan hati, percaya pertolongan hanya datang dari Allah, Hasbunallahu wani’mal wakeel. Dan Alhamdulillah, akak sampai juga di puncak broga”

Terasa takungan air mata bergenang bila mendengar semangat kak Najwa. Jika saya berada di posisi akak, belum tentu saya sekuat itu. 

Allahu rabbi.

Sebelum halaqah ditangguhkan, sedikit pengisian ditinggalkan oleh Kak A, 

“Kita bayangkan Asma’ puteri Abu Bakr dalam peristiwa hijrah Rasulullah,dalam keadaan berbadan dua, sanggup mendaki bukit semata-mata mahu memberikan makanan kepada Rasulullah dan ayahnya. Betapa besarnya pengorbanan beliau dalam perjuangan Islam ini. Dan kita perlu contohi kekuatan Asma’ dalam nak menegakkan agama Allah ni. Bukan bila dah kena agah sikit terus lemah

Suasana semakin basah, dan mata juga. Masing-masing mula memandang ke bawah dan menghayati setiap bait kata-kata kak A.

“Ok sebelum turun, kita tadabbur surah Ar-Rahman dulu. cari port favourite masing-masing”

Tatkala mentadabbur surah itu, tanpa ditahan-tahan air mata merembes keluar. Pengalaman rehlah kali ini, jelas memberikan impak yang sangat besar dan membuka mata kami. Ukhuwah antara kami, pengalaman kak Najwa dan akhawat yang lain menjadikan kami lebih bersungguh dan sangat mengharapkan semangat dan kefahaman untuk berdakwah, ditarbiyah dan mentarbiyah ini akan kekal hingga ke akhirnya. inshaAllah.

‘Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik melainkan balasan yang baik juga? Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu yang kamu dustakan?’[Ar-Rahman: 60-61]

*alhamdulillah*


Perjalanan ini panjang, perjalanan ini sukar, perjalanan ini penuh dengan duri, perjalanan ini bukan untuk orang yang manja. Tsabbit qulubana ala deenik, Ya Muqolibbal Qulub. Kami mahu bersama-sama  menjadi golongan yang memenangkan agamaMu. Kuatkan hati kami, satukanlah hati kami, redhakanlah kami Ya Allah.




P.s ; Pengalaman ini adalah semasa I’dad murabbi akhawat uitm shah alam pada bulan tujuh tahun 2012 yang lalu.

p.s.s : Pernah dihantar ke penerbitan sebuah majalah tahun lepas, tetapi belum ada rezeki untuk di'publish'kan. tapi cerita ini tetap mahu dikongsikan pada semua. tak apa, post kat sini saja pun takpe kan? alhamdulillah *senyum kenyit mata*

Comments

Popular posts from this blog

NGO : Perlu Audit Ke?

baju kurung.tarikan mata lelaki?

PENGALAMAN WEAN OFF GENAP 2 TAHUN