NGO : Perlu Audit Ke?

 

NGO : Kuasa ketiga

Badan bukan kerajaan atau Non- Governmental Organisation (NGO) atau badan bukan keuntungan (Non-Profit Organisation) merupakan organisasi yang tidak kurang penting di dalam sesebuah negara selain daripada badan kerajaan dan syarikat bermotifkan keuntungan. Kuasa NGO dilihat besar bukan sahaja untuk membantu rakyat dari segi kebajikan malahan mampu untuk menggesa kerajaan mengubah polisi dan dasar negara.

Perbezaan ketara sesebuah NGO dibandingkan organisasi lain adalah sumber pendapatan yang diperoleh dibenarkan untuk mengumpul dana awam bagi menjalankan objektif penubuhan. Tidak hairanlah jumlah pendaftaran NGO di Malaysia semakin meningkat setiap tahun. Namun, banyak persoalan timbul apabila NGO ini terpalit dengan tuduhan seperti pecah amanah, mengambil kesempatan atas kemurahan rakyat dalam menderma, bantuan yang tidak sampai kepada sasaran utama dan lain-lain. Hal ini mungkin disebabkan kurang pemantauan efektif yang diberikan kepada NGO dan kurang kesedaran rakyat dalam meminta bukti bantuan setelah sumbangan dana diberikan.

Mengambil contoh yang dekat dengan kita, banyak sumbangan yang dikutip dan diiklankan di media sosial seperti Whatsapp, Facebook dan Instagram. Adakah cukup sekadar kita menyumbang dan menerima resit rebat pengecualian cukai? Adakah kita yakin sumbangan yang diberikan sampai kepada pihak yang memerlukan? Justeru, penyumbang dana, pengurusan NGO dan pihak autoriti memainkan peranan yang penting dalam memastikan kelestarian NGO sebagai kuasa ketiga di negara kita.

Pemerkasaan yang efektif


Tadbir urus yang cekap

Secara asasnya, terdapat tiga cara untuk mendaftarkan NGO, salah satunya dan paling popular ialah melalui Pertubuhan Persatuan (ROS). Pelaporan kewangan dan audit boleh dilakukan oleh audit dalam dan perlu dihantar setiap tahun kepada ROS. Selain itu NGO juga boleh didaftarkan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) melalui Syarikat Berhad Bukan Jaminan (CLBG).

NGO ini perlu mematuhi akta yang dilaksanakan ke atas syarikat (Companies Act 2016) terutamanya pelaporan kewangan dan audit. Seterusnya, NGO juga boleh didaftarkan melalui Badan Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) di bawah Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Dalam Negeri melalui nama ‘Yayasan’. Seperti NGO di bawah kendalian SSM, terdapat syarat yang perlu dipatuhi di bawah akta Perbendaharaan Amanah 1952 ini.

Semua NGO juga boleh memohon untuk pengecualian cukai tertakluk kepada Seksyen 44 Akta Cukai Pendapatan tetapi syarat pelaporan yang ditawarkan lebih ketat seperti objektif yang jelas bermotifkan kebajikan dan perlu menghantar laporan kewangan berserta audit lengkap sekurang-kurangnya dua tahun semasa membuat permohonan pengecualian cukai.

Pengurusan NGO yang amanah

Menurut Profesor Roshayani Arshad, salah satu tanda yang menjadi ‘red flags’ yakni salah laku peyelewengan dana awam kepada sesebuah NGO adalah apabila orang atasan atau pihak pengurusan telah memegang tempoh sesuatu jawatan untuk beberapa tahun. Hal ini akan menimbulkan rasa curiga oleh orang luar dan akan dipersoalkan oleh banyak pihak tentang kewibawaan dan pengagihan sumber yang disumbangkan. Selain itu, tanda amaran yang lain adalah jumlah tunai yang diperolehi berterusan dari sumber yang tidak jelas.

Perkara ini pasti menjadi tarikan pihak audit untuk mengenal pasti dan memeriksa dengan lebih lanjut untuk memastikan sumber dana bukan daripada sumber yang tidak sah dan lebih membimbangkan sekiranya NGO dipergunakan untuk ‘menyucikan’ harta yang diperolehi dari pihak tertentu. Sudah pasti penyumbang dana dan juga penerima sumbangan tidak meninginkan barangan dari sumber yang tidak jelas (gharar) mencampuri darah daging mereka. Hal ini juga bertepatan dalam surah Al-Baqarah ayat 188, Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “Dan janganlah kamu makan harta-harta sesama kamu dengan jalan yang batil dan janganlah kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim-hakim dengan tujuan supaya kamu dapat memakan sebahagian dari harta orang lain dengan cara yang berdosa, sedangkan kamu mengetahui”.

Penyumbang dana sangat dinasihatkan supaya lebih peka untuk memastikan sumbangan yang diinfakkan kepada NGO sampai kepada pihak yang terlibat seperti yang diuar-uarkan semasa kutipan dana awam berlangsung. Tambahan, dengan ekonomi negara yang masih tidak stabil dek pandemik Covid-19, ditakuti ada NGO yang mengambil kesempatan atas kemurahan hati rakyat yang sememangya terkenal dengan sifat suka memberi. Selain itu, salah satu mekanisma yang mampu mengurangkan risiko berlakunya salah laku pengagihan dana awam adalah pelaporan yang komprehensif dan tidak terikat kepada laporan kewangan.

Pelaporan yang komprehensif

Sememangnya, sesebuah NGO perlu mematuhi pelaporan yang digariskan dalam akta penubuhan seperti yang tertera dalam Pertubuhan Persatuan (ROS) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Namun laporan kewangan yang perlu disediakan dan dihantar setiap tahun masih belum mencukupi. Mengambil contoh Yayasan, NGO yang didaftarkan di bawah Syarikat Berhad Menurut Jaminan, pelaporan kewangan tertakluk kepada Malaysian Financial Reporting Standard (MFRS). Piawaian ini juga ditetapkan untuk syarikat yang bermotifkan keuntungan sedangkan objektif Yayasan (NGO) adalah untuk memastikan impak yang maksima kepada kumpulan sasaran.

Menjadi persoalan adalah pelaporan kewangan yang disediakan cukup sekadar itu untuk menggambarkan keseluruhan NGO ? Manakala, untuk NGO yang didaftarkan di bawah ROS pula, amat ringkas dan tidak menyeluruh. Ditambah, laporan ini tidak semuanya akan dipamerkan kepada orang awam bergantung kepada kesedaran untuk pelaporan yang telus (transparency) oleh NGO. Ternyata, kelompongan undang-undang dan garis panduan pelaporan, khusus untuk NGO menjadi salah satu perkara yang perlu diusahakan oleh semua pihak yang terlibat dengan pengurusan dan tadbir urus NGO. Laporan kewangan sedia ada diakui tidak dapat memberi maklum balas kepada penyumbang dana dan pemegang taruh (stakeholders) NGO.

Kelestarian dan hala tuju NGO

Setiap NGO memerlukan sokongan berterusan daripada penyumbang dana dan masyarakat umum untuk mencapai kelestarian (sustainability) dan terus memberi manfaat kepada rakyat dan kumpulan sasar. Sokongan datang daripada kepercayaan dan kepercayaan tidak dapat diperoleh hanya dari pelaporan kewangan yang berpandukan daripada akta (standard) sedia ada semata-mata. Pelaporan yang lebih berkesan seperti ketelusan dan menyeluruh atau nama lain ‘Pelaporan berasaskan akauntabiliti’ penting bagi mengurangkan penyalahgunaan dana awam di mana penyumbang dana dan orang awam dapat melihat siapa dan ke mana sumbangan disalurkan. Kaedah yang dicadangkan tidak hanya mahu menangkap orang yang membuat penyelewengan, tetapi akan lebih meningkatkan akauntabiliti dana awam. Selain itu, sudah tiba masanya untuk sesebuah NGO dan setiap organisasi tidak mengharapkan audit semata-mata untuk memastikan kepatuhan, tetapi perlu memperkenalkan tadbir urus yang lebih baik dan efektif.

Kesimpulan


Persoalan utama seperti tajuk di atas adakah NGO perlu diaudit? – jawapannya sudah pasti ianya satu kemestian kerana pengurusan dana awam adalah amanah yang sangat besar yang dipikul oleh pengurusan NGO. Selain dari audit memang diwajibkan di dalam setiap akta NGO ditubuhkan, dana yang diperoleh adalah sumber kolektif daripada ramai penyumbang atas sesuatu sebab dan sudah pasti mereka mengharapkan objektif itu terlaksana dan disahkan oleh pihak luar. Tidak terhad kepada laporan kewangan, kesedaran untuk melaporkan daripada mana dana diperoleh, dan di mana dana disalurkan dalam apa sahaja lapangan yang menghubungkan NGO dan masyarakat umum perlu diimplementasikan oleh semua NGO. Walaupun mungkin terdapat banyak cabaran seperti tidak mempunyai staf professional atau kos pengurusan yang tidak mencukupi untuk menyediakan laporan yang komprehensif namun usaha ke arah penambahbaikan perlu sentiasa dipertimbangkan. Badan yang menyelia terutamanya SSM, BEHUU, ROS dan lain-lain dicadangkan untuk mengadakan kolaborasi bersama NGO untuk mewujudkan tadbir urus yang baik. Selain itu, latihan pelaporan terbaik (best practice of reporting), latihan kepakaran dan suntikan dana kepada NGO sedikit sebanyak mungkin dapat mengurangkan cabaran yang dihadapi oleh NGO terutama di tengah musim pandemik ini.

Selebihnya, bergantung kepada NGO sama ada sudah bersedia untuk penambahbaikan berterusan, terbuka kepada perubahan dan ketelusan dalam pelaporan. Sudah pasti, masyarakat umum juga perlu lebih proaktif dan cakna untuk mempersoalkan adakah sumbangan sampai kepada penerima. Mentaliti seperti ‘tak apalah, asal buat kerja baik’ ini perlu diubah kepada semua pihak perlu bertanggungungjawab atas amanah yang diberikan kepadanya. Ini penting dalam meningkatkan akauntabiliti sesebuah NGO dan sudah pastinya juga akauntabiliti yang paling utama bagi Muslim adalah ketaatan kepada perintah Allah SWT.


Nurul Iffah binti Ghazali adalah salah seorang Ahli Jawatankuasa MFP

Artikel disunting daripada Siri Webinar MFP yang dianjurkan oleh Malaysian Muslim Professionals (MFP) yang menampilkan ahli Panel dari Fakulti Perakaunan, UITM yang juga CEO INTEC College, Prof Dr Roshayani binti Arshad bersama CEO Humanitarian Care (MYCARE) Tn Hj Kamarul Zaman pada Isnin, 27 September 2021

Comments

Popular posts from this blog

baju kurung.tarikan mata lelaki?

bulan 6, 2011